Menyedari hakikat tersebut, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata beliau kini dalam usaha mencari pelapis untuk mengisi jawatannya kelak.
“Saya mengakui bahawa sepanjang penggal pertama memegang jawatan Ketua Pemuda, saya banyak ke depan…Ini penggal terakhir saya dalam Pemuda UMNO.
“Saya kena sediakan pelapis, saya kena terima hakikat bahawa penonjolan identiti saya terlalu besar dalam Pemuda UMNO,” ujarnya sewaktu wawancara bersama Harian Metro.
Mengulas lanjut, Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan, beliau sengaja memilih untuk kurang menonjol dalam sayap Pemuda bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda memandangkan hanya tinggal dua tahun sahaja lagi untuk pemilihan UMNO baharu.
“Nak cari lain susah disebabkan identiti itu didominasi oleh saya sebagai Ketua Pemuda, jadi saya kena beri peluang kepada second liners.
“Oleh itu, saya sengaja kurangkan penonjolan dalam Pemuda walaupun masih mengetuai barisan tersebut. Walau bagaimanapun, saya cuba ‘highlight’ yang lain supaya nama mereka pula naik selepas ini,” ujarnya lagi.
Antara nama-nama yang disebut Khairy untuk dijadikan pelapis adalah Exco Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya, Shahril Hamdan dan beberapa nama lain.