Hasan perlu selesaikan masalah laporan 1MDB

Hasan perlu selesaikan masalah laporan 1MDB

Jika dibiarkan akan menggugat kedudukan PAC sebagai pemantau kerajaaan, jelas Shad Faruqi

fauqi

PETALING JAYA:
Kontroversi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memadamkan dua baris ayat daripada laporan siasatan keatas 1MDB perlu diselesaikan supaya peranan jawatankuasa dwi-kepartian itu tidak tergugat, menurut pakar perlembagaan.

Prof Shad Saleem Faruqi berkata Datuk Hasan Arifin dan anggota PAC lain perlu bermesyuarat dan menangani isu berbangkit.

“Kedua belah pihak telah mengutarakan hujah masing-masing. Anggota PAC daripada pembangkang mendakwa dua baris ayat itu dipadam dengan niat jahat manakala pengerusi pula ia akan menjadi subjudis sekiranya dua baris ayat itu terbit.”

“Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan mesyuarat itu, mereka boleh merujuk perkara itu ke Dewan Rakyat. Sekiranya mereka masih tidak berpuas hati, ia boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, laporan yang telah dipinda perlu disepakati, kecuali “peminda boleh jelaskan mengapa pindaan dibuat dan jawapannya diterima semua anggota.”

Beliau berkata ia merupakan prosiding dalaman Parlimen dan mana-mana Ahli Parlimen boleh merujuk kes itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, yang akan meneliti perkara-perkara yang masih tidak diselesaikan.

“Isu itu perlu diselesaikan di Parlimen, bukan di mahkamah, kerana Parlimen paling berhak untuk meneliti mesyuarat-mesyuarat dalaman itu,” jelasnya.

Shad berkata demikian mengulas pengakuan Hasan yang memadam dua baris ayat daripada laporan siasatan PAC keatas 1MDB.

Sebaris menceritakan perbincangan antara para pegawai Jabatan Audit dan anggota-anggota PAC, manakala baris lain menceritakan perbincangan anggota-anggota PAC dengan pegawai-pegawai kerajaan yang terbabit dalam penyediaan laporan 1MDB.

Selasa lepas, wakil rakyat DAP Tony Pua mendakwa laporan itu telah memadam satu baris ayat berkenaan syarikat Good Star Ltd. yang dikaitkan pada Low Taek Jho.

Menurutnya, baris tersebut berbunyi: “Bank Negara Malaysia telah secara sukarela dimaklumkan oleh pihak berkuasa keatas syarikat itu bahawa Good Star Limited merupakan syarikat milik seorang individu yang kelihatan tiada kaitan dengan kumpulan PetroSaudi.”

Pua turut mendakwa Hasan meminda laporan PAC keatas laporan 1MDB tanpa persetujuan jawatankuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.