Bukan dedak, pertahan Najib satu tanggungjawab

Bukan dedak, pertahan Najib satu tanggungjawab

Dakwaan pemimpin di bahagian terima dedak hanyalah daripada segelintir pihak kerana sistem pemilihan dah berubah di mana kuasa memilih bukan lagi di tangan pemimpin di bahagian.

najib-umno

PETALING JAYA:
Tindakan ahli UMNO mempertahankan Datuk Seri Najib Razak daripada serangan pihak-pihak tertentu bukanlah disebabkan kerana telah diberi `dedak’ sebaliknya, ia adalah tanggungjawab untuk mempertahankan pemimpin.

Demikian kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang menjelaskan mengenai pendirian ahli UMNO terhadap Perdana Menteri yang merupakan presiden parti itu.

Dengan mengambil contoh institusi kekeluargaan, jika seorang bapa dihina dan dicaci oleh pihak luar, tidak mungkin anak-anaknya akan berdiam diri melihat bapa mereka di perlaku begitu.

“Saya melihat dakwaan pemimpin di bahagian terima dedak hanyalah daripada segelintir pihak kerana sejak Najib jadi Presiden, sistem pemilihan dah berubah di mana kuasa memilih bukan lagi di tangan pemimpin di bahagian.

“Yang berkuasa adalah ahli peringkat akar umbi dan jika ada yang merasakan pemimpin di bahagian sahaja yang diberi dedak hingga hidup senang lenang, baik laporkan kepada jawatankuasa disiplin parti,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal.

Ahmad Fauzi berkata, dapat atau tidak dedak seperti yang didakwa, perkara pertama yang perlu ada dalam diri semua pemimpin UMNO kata Ahmad Fauzi adalah patuh kepada presiden.

“Jadi, sama ada suka atau tidak, ahli-ahli parti yang tak puas hati ada dua pilihan iaitu yang pertama, terus bercakap dalam parti yang mungkin didengari atau akhirnya dilukai,” katanya.

Apapun katanya, keyakinan rakyat dalam memberi sokongan kepada Barisan nasional masih lagi tinggi dengan terlaksananya dasar-dasar kerajaan yang pro kepada rakyat.

“Saya yakin, apabila semua isu rakyat dapat diselesaikan, mereka sendiri akan membuat penilaian bahawa inilah kerajaan yang boleh diharapkan untuk memberi keselesaan hidup kepada mereka,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.