Kenapa tuduh saya bukan Islam?

Kenapa tuduh saya bukan Islam?

Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, lebih menyedihkan, fitnah itu menyentuh agama beliau, sedangkan beliau seorang Islam sejak dilahirkan

restoran-hakim

SHAH ALAM:
Pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan dakwaan kononnya beliau bukan beragama Islam, selepas dua cawangan restorannya di Seksyen 7 diperiksa pihak berkuasa, Selasa lepas.

Dalam operasi membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, beberapa hiasan ayat suci Al-Quran di restorannya telah diturunkan, kerana terdapat kesalahan cetakan.

Hakimsa berkata, lebih menyedihkan, fitnah itu menyentuh agama beliau, sedangkan beliau seorang Islam sejak dilahirkan.

“Saya juga telah mengerjakan haji, tetapi kenapa masih menuduh saya bukan Islam? Janganlah buat saya macam ini, dalam Islam juga kita tidak boleh menuduh sembarangan. Saya marah dan sedih, apabila ia menyentuh agama kita (Islam),” katanya pada sidang media hari ini.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Polis Seksyen 7, kira-kira jam 4 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Harisrajudin Alaudin mahu polis menyiasat perkara itu, selain akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mencari dalang di sebalik dakwaan itu.

Semalam, JAIS dalam satu kenyataan mengesahkan, pemeriksaan di premis makanan di Seksyen 7, termasuk di Restoran Hakim tidak melibatkan isu status halal, sebaliknya kerana lapan restoran dikesan menggantung papan hiasan ayat Al-Quran yang mengandungi kesalahan cetakan.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.