Ketua Pemuda KIMMA, Harisrajudin Alaudin yang dipetik Sinar Harian berkata, pihaknya kecewa dengan penyebaran khabar angin itu yang boleh menjejaskan perniagaan pengusaha terbabit.
“Kami tak mahu ada pelanggan yang rasa tertipu, kerana perkara ini tidak benar sama sekali,” katanya kepada akhbar itu.
Jelasnya, operasi bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kementerian Dalam Negeri itu tiada kaitan dengan status halal, kerana ia sebenarnya memantau penyalahgunaan papan hiasan ayat-ayat Al-Quran.
“Tujuan turunkan hiasan ayat Al-Quran itu supaya pengusaha mendapatkan ayat-ayat bersesuaian,” katanya yang yakin lapan restoran terbabit tidak berniat menyalahgunakan ayat Al-Quran, sebaliknya ada ayat tidak penuh yang digantung dalam premis mereka.
Dalam pada itu, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin yang merupakan pemilik Restoran Khulafa yang turut terbabit dalam operasi pada Selasa lalu itu, menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar operasi itu dan memburuk-burukkan restoran India Muslim.
“Saya jadi tak senang hati, apabila ada yang tuduh Restoran Hakim tak halal dan mereka bukan orang Islam.
“Saya kenal pemiliknya, Datuk Hakim dan dia bukan orang sembarangan. Dia seorang doktor yang baik dan juga seorang Muslim,” tegasnya.
Beliau berkata, majoriti pelanggannya masih mengunjungi dua restorannya di Shah Alam, kerana mereka tahu beliau adalah umat Islam dan menjual makanan halal kepada pelanggan.