Beliau menyifatkan video itu sebagai “kasar, bodoh dan angkuh.”
Dalam satu kenyataan malam tadi, Abdul Karim berkata, video selama 4.53 minit itu bukan sahaja bersifat kebudak-budakan, malah ia jelas menunjukkan DAP tidak tahu cara menangani politik Sarawak.
Beliau menyifatkan video itu secara terang-terangan menghina rakyat Sarawak, kerana DAP menggunakan kartun sebagai bahantara (medium) untuk menyampaikan mesej perubahan kepada orang ramai.
“Mereka cuba tunjukkan apa dalam video ini? Apakah pada fikiran mereka rakyat Sarawak tidak boleh faham isu yang mereka bawa, hingga terpaksa berhujah dalam bentuk kartun?” soal Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya itu sambil berkata, mesej yang cuba disampaikan dalam video itu juga sarat dengan salah anggapan.
“Orang Sarawak bukan dungu, kami bukan buta huruf. DAP tidak sepatutnya merendah-rendahkan rakyat Sarawak, seolah-olah untuk memahami isu, ia perlu menggunakan kartun.”
Ahli Majlis Tertinggi PBB itu berkata, animasi DAP itu menunjukkan parti itu tidak tahu cara untuk mengatasi Barisan Nasional Sarawak dan tarikan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Bukan itu sahaja, DAP juga gagal menyangkal mana-mana pencapaian Adenan di Sarawak.
Tambahnya, parti itu nampaknya tidak mampu menjawab pencapaian-pencapaian itu secara pintar sehingga mereka terpaksa “mengimport” peluru politik murahan dari Semenanjung Malaysia.
Menteri Muda Perumahan Sarawak itu berkata, sekiranya DAP bersungguh-sungguh mahu menyentuh perasaan rakyat, pasti mereka bermula daripada isu-isu rakyat Sarawak, bukannya melakukan aksi sekolah rendah seperti menghasilkan video animasi itu.
“Namun begitu, barangkali saya mengharapkan sesuatu yang sukar daripada mereka. Mereka tak faham Sarawak serta keperluan dan hasrat rakyatnya.
“Lagaknya terlalu bodoh, membuatkan saya hampir kasihan melihat mereka kais sisa idea yang ada.”
Video yang dimuat naik KiniTV itu menunjukkan satu watak berkaca mata, berbibir merah jambu dan memakai kemeja tertera logo menyerupai logo Barisan Nasional, menatap kamera dan berkata: “Mari kita sapu Malaysia”.
Babak seterusnya memaparkan robot-robot lelabah gergasi dengan huruf BN dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tertera padanya, turun dari langit dan bertempur dengan seangkatan maskot-maskot Ubah DAP yang memusnahkan kota menjadi puing.
Daripada runtuhan itu, bangkit danawa (gergasi) berambut gerbang dan berkain permata di bawahnya.
Lalu dengan satu hayunan tas tangan berjenama Hermes sahaja, maskot Ubah itu terpelanting dan rebah, sambil diiringi lagu “If tomorrow never comes” nyanyian wanita itu.
Demi memaparkan kemenangan kuasa kebaikan menumpaskan kejahatan, maskot Ubah hidup kembali dan menewaskan dawana serta lelaki berkaca mata itu.
Maskot Ubah kemudiannya menyelamatkan bumi daripada bom C4 besar yang ditinggalkan danawa, dengan meletupkan bom itu di angkasa lepas.
https://www.youtube.com/watch?v=kPRc03HFpOI
