Mohd Alaudin Hasan, 30, yang dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan, bertindak meloloskan diri sebaik gari dibuka untuk proses rakaman cap jari di bilik Pusat Identifikasi Forensik Setempat (PIFOS).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, suspek keluar dari bilik PIFOS dan meluru ke arah sebuah kereta Proton Satria berwarna biru yang dipandu seorang lelaki bersama seorang wanita yang menunggu berhampiran lokasi itu.
“Kereta tersebut terus memecut laju menghala ke arah Ajil dengan suspek yang berasal dari Felda Neram memakai baju lokap berwarna ungu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.
Susulan itu, katanya, polis menahan pemandu kereta dan isteri suspek di sebuah inap desa di Bukit Besi, Dungun, kira-kira jam 5 petang.
Rosli berkata, polis telah melancarkan ‘Op Tutup’ bagi mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek supaya menghubungi balai polis berhampiran.
Sementara itu, 10 minit sebelum insiden itu, seorang lagi suspek kes ragut dan dadah berusia 28 tahun turut melarikan diri semasa turun dari lori polis di perkarangan Mahkamah Majistret Kemaman, pada jam 9.30 pagi.
Jelasnya, semasa proses menurunkan semua Orang Kena Tuduh (OKT) dari kenderaan polis untuk dibawa ke lokap mahkamah, suspek yang dalam keadaan bergari, berjaya melepaskan diri dan berlari ke arah bandar Chukai.
“Anggota polis cuba mengejar suspek, namun gagal,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir enam jam menyembunyikan diri, suspek tampil bersama kakaknya di IPD Kemaman untuk menyerah diri pada jam 3.10 petang.
– BERNAMA