Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Empangan Sungai Selangor menunjukkan penurunan 0.62 peratus manakala Empangan Semenyih 0.47 peratus dan penurunan itu berlaku setiap hari.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bertindak cepat sebelum Lembah Klang berhadapan krisis air.
“Saya cadangkan beliau luangkan masa untuk ingatkan rakyat supaya menggunakan air dengan cermat dan beritahu rakyat apa pelan yang kerajaan negeri rancang untuk mengelak krisis air berulang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Empangan Sungai Selangor membekalkan lebih 60 peratus bekalan air mentah kepada penduduk di Selangor dan Lembah Klang.
Charles turut mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai EXCO, ADUN dan NGO bagi memantau masalah air.
“Kita perlu lebih pro-aktif. Jangan tunggu masalah berlaku baru kita mahu bertindak,” tegasnya.
Beliau turut meminta kerajaan negeri segera mewartakan kawasan tadahan air dengan tidak membenarkan sebarang pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya baharu.
Beliau juga mencadangkan kerajaan negeri mengambil langkah-langkah segera termasuk mengehadkan penggunaan air terawat dan pengawal penggunaan air di premis cuci kenderaan.
“Mana lebih penting mahu kereta kelihatan berkilat atau mahu minum air,” katanya.
Johor dan Perlis dilapor telahpun mengadakan catuan air ekoran cuaca panas. Melaka dan Negeri Sembilan juga bakal mengambil langkah sama jika paras air terus menunjukkan penurunan.
Selangor pernah mengadakan catuan air pada Februari 2014 yang dilakukan secara bergilir-gilir – dua hari ada air dan dua hari tiada air.
Kerajaan negeri ketika itu terpaksa melaksanakan catuan air untuk memastikan bekalan air mentah di empangan-empangan utama mampu bertahan lebih lama.