Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, mangsa yang berusia 22 tahun itu membuat laporan polis, sejurus menyedari dia ditipu.
Kes melibatkan BB1M itu merupakan yang pertama dilaporkan di daerah ini.
“Penuntut lelaki ini menjadi orang tengah antara rakan-rakan yang berhasrat menukar baucar buku diberi kepada mereka kepada wang tunai.
“Mangsa bertemu dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Achong’ di sebuah lokasi di Shah Alam pada jam 12.30 tengah hari, kononnya sanggup membeli baucar tersebut,” katanya selepas menghadiri kempen derma darah peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, ketika urusan jual beli, penuntut berkenaan didatangi dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan cuba menahannya, berikutan mangsa dikatakan menyalahgunakan baucar berkenaan.
Katanya, dua lelaki terbabit yang memakai baju putih berlogo polis, kemudiannya menunjukkan sepasang gari kepada mangsa, sebelum ‘Achong’ melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat mangsa, polis berjaya menjejaki tujuh lelaki berumur 17 hingga 40 tahun di beberapa lokasi sekitar Shah Alam, pada 4 April lepas,” katanya.
Shafien berkata, penahanan kesemua suspek itu turut membawa kepada penemuan dua helai baju putih berlogo polis dan gari yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
Jelasnya, suspek-suspek terbabit mempunyai kaitan dengan lelaki bernama ‘Achong’ yang masih bebas.
Katanya, siasatan turut menunjukkan kumpulan berkenaan menyasarkan individu yang mempunyai BB1M, termasuk pelajar, sebelum memperdayakan mangsa supaya menjual baucar berkenaan kepada mereka.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 dan 384 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, akibat tidak puas hati kerana dipecat, seorang bekas pekerja sebuah kedai serbaneka di Kota Kemuning, bertindak menyamun premis berkenaan, sebelum diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Johan Setia, Klang, petang semalam.
Shafien berkata, lelaki berumur 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari, lima jam selepas kejadian.
“Penolong pengurus (mangsa) membuat laporan polis, selepas kedai itu disamun kira-kira jam 8.30 pagi oleh seorang lelaki bertopeng dan memakai topi keledar hitam.
“Suspek dilaporkan mengugut mangsa dengan sebilah parang supaya mangsa menyerahkan wang tunai yang disimpan di dalam bilik khas, selain suspek turut merampas beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, susulan penahanan suspek, polis turut menemui wang tunai berjumlah RM7,000 serta beberapa kotak rokok pelbagai jenama, dipercayai hasil kegiatan samun dan merampas sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM3,000 yang baru dibeli suspek menggunakan wang samun berkenaan.
“Suspek dipecat sejak dua bulan lepas dan akibat tidak puas hati dengan bekas majikan, dia merancang melakukan samun terhadap premis ini.
“Polis turut dimaklumkan, suspek tahu selok-belok kawasan premis, termasuk lokasi bilik khas di mana wang hasil jualan kedai itu disimpan,” katanya.
– BERNAMA
