Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu turut mengesahkan derma RM2.6 bilion itu diberikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
“Sebelum ini ramai yang mempertikaikan kenyataan Peguam Negara bahawa wang derma itu bukan daripada 1MDB sebaliknya datang daripada Arab Saudi.
“Namun kumpulan Deklarasi Rakyat terus mengelirukan rakyat dengan menuduh Perdana Menteri terlibat menyeleweng dana 1MDB.
“Terbaru Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut membuktikan yang Perdana Menteri tidak terlibat dalam apa-apa salah laku dalam urusan syarikat 1MDB. Jadi siapa yang berbohong selama ini?,” katanya menerusi kenyataan.
Azalina yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut percaya rakyat semakin jelas mengenai isu derma RM2.6 bilion itu dan tidak akan mudah terpedaya dengan tuduhan-tuduhan palsu yang dibuat kumpulan Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Terdahulu, Adel Al-Jubeir dalam satu kenyataan mengakui sumbangan dana kepada Perdana Menteri memang datang dari negara itu.
“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.
“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” katanya.