Mangsa culik rakyat Malaysia masih hidup- KPN

Mangsa culik rakyat Malaysia masih hidup- KPN

Khalid enggan mengulas persoalan jika pihak penculik ada membuat tuntutan wang tebusan ekoran bimbang akan menjejaskan keselamatan mangsa culik terbabit.

khalid-culik

KUALA LUMPUR:
Empat rakyat Malaysia yang diculik lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, 1 April lalu disahkan masih hidup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ketika ini pihaknya masih meneruskan rundingan dengan pihak berkuasa Filipina dalam usaha membebaskan semua mangsa tersebut.

“Demi keselamatan mereka, saya tidak mahu ulas (lanjut), tapi kita ikuti perkembangannya dan akan meneruskan rundingan dan mengambil langkah-langkah yang perlu demi keselamatan mereka,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2016 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Bagaimanapun Khalid enggan mengulas persoalan jika pihak penculik ada membuat tuntutan wang tebusan ekoran bimbang akan menjejaskan keselamatan mangsa culik terbabit.

Empat mangsa rakyat Malaysia yang diculik itu adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Mereka antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Khalid turut berkata bahawa pihaknya mempunyai maklumat risikan tentang mengapa empat rakyat Malaysia itu menjadi sasaran penculik, namun beliau enggan mendedahkannya secara terperinci bagi menjaga keselamatan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.