Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihak pendakwaan kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kesahihan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Katanya, Khairuddin mempertikaikan kesahihan pelantikan Peguam Negara apabila memfailkan permohonan mengetepikan tuduhan terhadapnya yang didakwa mengikut 124L Kanun Keseksaan.
“Mengikut Artiel 145 (1) dan 145 (5), pelantikan Peguam Negara dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri. Sehubungan itu, mahkamah tiada kuasa untuk menentukan kesahihan pelantikan Peguam Negara,” katanya.
Pada 5 Februari lalu, Khairuddin memfailkan permohonan untuk mengetepikan dakwaan cubaan mensabotaj ekonomi dan sistem pembankan negara kerana mendakwa tuduhan itu tidak mengikut Perlembagaan.
Khairuddin dan peguamnya, Matthias Chang didakwa tahun lalu kerana didakwa cuba mensabotaj ekonomi dan sistem perbankan negara. Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu dibeberapa negara antaranya Perancis, England, Singapore, Switzerland dan Hong Kong antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun lalu.
Ditemui di luar mahkamah, Khairuddin berkata, beliau akan merayu keputusan itu.
“Saya tidak terkejut dengan keputusan hari ini,” katanya.