Borneo Post Online melaporkan, gabungan itu digelar BM, tetapi mereka secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Bebas.
Mereka dijangka mendedahkan senarai calon secara berperingkat.
Laporan itu turut menyatakan Affendi Jeman, penyokong Pakatan Bebas dan BM yang juga pengerusi sementara untuk Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (ARBS) yang belum berdaftar sebagai berkata, gabungan itu telah mengenal pasti kira-kira 15 calon bebas untuk bertanding di beberapa kerusi yang disasarkan.
Affendi berkata, beliau mungkin bertanding di kerusi Pantai Damai menentang calon Barisan Nasional, Dr Abdul Rahman Junaidi.
“Kami sudah menubuhkan Pakatan Bebas, satu pendekatan yang akan menghimpunkan semua calon bebas berminat serta mewujudkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tempatan sedia ada yang menyertai PRN akan datang,” katanya dalam sidang media di Kuching, semalam.
Ketika ditanya jumlah ahli dan penyokong di seluruh negara, Affendi berkata, entiti itu belum berdaftar dan buat masa ini, mereka tidak mempunyai keahlian rasmi.
“Jumlah itu datang dalam bentuk sokongan rakyat dan kepentingan diri. Kami yakin lebih ramai yang akan sokong tindakan ini, sebaik sahaja hasrat Pakatan Bebas diketahui ramai.
“Kami ada manifesto tersendiri dan biat rakyat putuskan jika mereka mahu sokong objektif dan perjuangan kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedia ada sudah mentadbir lebih 50 tahun dan gagal membawa pembangunan secukupnya kepada masyarakat Bumiputera.
Sebaliknya, kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hanya berjaya mewujudkan lebih bayak isu negatif.
“Paling jelas ialah jurang antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak yang semakin lebar, gara-gara ketamakan yang ditunjukkan sesetengah pemimpin BN Sarawak yang mementingkan ‘sesetengah kaum’.
“Perbezaan paling ketara ialah pembangunan sosioekonomi yang jelas kelihatan, disebabkan sikap ‘pengayaan diri’ oleh pemimpin sedia ada yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negeri ini dengan adil.
“Pada masa sama, parti-parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia juga tidak sesuai untuk landskap politik Sarawak.
“Walaupun parti-parti itu telah lama ditubuhkan di negeri ini, pemimpin pusat mereka tidak menunjukkan kemajuan menggalakkan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan negeri ini, kerana mereka tidak memahami budaya politik di sini,” katanya yang dipetik portal berita itu.