Tiada perbincangan dengan Ezam – Rafizi

Tiada perbincangan dengan Ezam – Rafizi

Ia merupakan propaganda UMNO untuk mengalih perhatian rakyat dari isu terkini melibatkan mengenai Perdana Menteri.

rafizi-pkr

PETALING JAYA:
PKR menafikan spekulasi mengaitkan bekas Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor yang dikatakan ada mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi memperkukuh kedudukan politik Presiden Parti itu.

Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli menjelaskan, laporan daripada portal UMNO iaitu SuaraTV berhubung perkara berkenaan merupakan propaganda UMNO untuk mengalih perhatian rakyat dari isu terkini mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

“Tidak pernah ada sebarang perhubungan, komunikasi atau perbincangan seperti yang didakwa di antara Ezam dan mana-mana pemimpin kanan parti terutamanya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

“Saya tidak tahu menahu sama ada Ezam mahu menyertai Keadilan. Perkara itu bukanlah isu yang layak dibincangkan di peringkat tertinggi Keadilan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, sebuah portal menyiarkan spekulasi bahawa bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu memperkukuhkan politik Wan Azizah.

Memetik sumber, laman portal SuaraTV melaporkan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan bersama bekas ketua pemuda PKR itu.

Ezam antara individu penting dalam siri tunjuk perasaan membantah pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998. Menyertai Parti Keadilan pada awal penubuhannya, Ezam menyertai UMNO semula pada 2008.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.