Katanya, Wardina tidak sepatutnya menyamakan pelanggan Fareeda dengan haiwan kerana semua pelanggan adalah aset penting syarikat itu.
“Perkataan layan macam lembu itu kurang sesuai. Manusia tetap manusia. Saya kecewa apabila peminat-peminat (tudung Fareeda) disamakan dengan binatang.
“Kejadian sambutan yang luar biasa tempoh hari bukan kami rancang. Sangat tidak profesional menyamakan pelanggan kami dengan binatang,” katanya dalam satu sidang media khas di Hotel JW Marriott, hari ini.
Pelakon itu mengulas rakaman video yang menjadi viral apabila pelanggan pengeluar tudung eksklusif nombor satu itu berhimpit dan berebut untuk mengambil nombor giliran bagi mendapatkan koleksi terbaru tudung Fareeda, ‘Sweet Love’ yang berlaku premis Fareeda di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi baru-baru ini.
Kejadian itu untuk mendapat teguran banyak pihak termasuk tokoh agama yang menegur syarikat Fareeda kerana menyebabkan percampuran lelaki dan wanita.
.
Wardina Safiyyah turut tampil memberi teguran kepada pemilik butik Fareeda menerusi laman Facebooknya, yang menasihatkan pengurusan Fareeda tidak merendahkan pelanggan dan melayan mereka seperti lembu.
Dalam pada itu Fizo turut menasihatkan agar semua pihak tidak membuat kenyataan melulu tanpa mendapatkan penjelasan yang sebenar berkenaan kejadian itu.
Katanya, seharusnya mereka bertanya terlebih dahulu agar tidak mengeruhkan keadaan lagi.
“Harap lebih elok mereka bertanya dan mengetahui isu sebenar. Tak salah mereka tanya dahulu baru keluarkan kenyataan.
“Bukan kita tak boleh terima teguran, tetapi seeloknya mereka tahu isu sebenar dan baru tak keruhkan keaadaan,” katanya.
Fizo juga menjelaskan kekecohan yang berlaku itu bukan disengajakan tetapi di luar jangkaannya.
“Kami hanya menjangkakan hanya 1,000 datang pada hari itu, sebaliknya pelanggan yang datang melebihi 2,000,” katanya.