Jangan bincang rawatan pesakit di laman sosial

Jangan bincang rawatan pesakit di laman sosial

Laman sosial tidak dapat menjamin tahap kerahsiaan walaupun pelbagai kaedah digunapakai untuk tujuan itu.

dr-hamzah,media

PETALING JAYA:
Doktor dan pegawai kesihatan diarah agar tidak membincangkan hal rawatan pesakit menerusi laman sosial bagi mengelak dituduh pecah amanah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk penggunaan seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Laman sosial tidak dapat menjamin tahap kerahsiaan walaupun pelbagai kaedah digunapakai untuk tujuan itu.

“Sebaik maklumat disiarkan dalam talian, sukar untuk memadamkannya kerana ia mungkin telah tersebar.

“Arahan itu dikeluarkan bagi mengurangkan kesalahan daripada segi etika dan perundangan selain meningkatkan integriti dalam kerjaya perubatan,” katanya yang dipetik dari mStar Online.

Menurut Noor Hisham, arahan itu dikeluarkan kerana kebelakangan ini lebih ramai penyedia khidmat kesihatan menggunakan media sosial untuk memastikan tugas mereka lancar.

Bagaimanapun, beliau berkata, doktor perlu membentuk kumpulan perunding perubatan menerusi landasan media sosial sebagai moderator dengan hanya ahli tertentu tanpa dapat dicapai orang awam.

Katanya, kebenaran bertulis pesakit juga perlu sebelum memuatnaik sebarang maklumat di media sosial.

Jelasnya, doktor juga perlu memadamkan semua maklumat berkaitan pesakit yang disimpan dalam telefon bimbit sebaik khidmat nasihat selesai.

Walaupun media sosial mempunyai kelebihan, namun katanya, doktor harus memilih untuk memberi khidmat nasihat secara langsung atau menerusi telefon kepada pesakit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.