Pengerusi JKMR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pihaknya bimbang sekiranya debat itu diteruskan, ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang.
“Mengambil kira perkembangan semasa, selaku Pengerusi JKMR saya berharap semoga kesemua pihak yang terbabit agar mempertimbangkan semula idea perdebatan tersebut. Saya menyarankan rancangan tersebut elok dielakkan.
“Kita perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya. Semua pihak yang terlibat, saya sarankan supaya memberi kerjasama yang sewajarnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Abu Zahar dalam masa sama turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai fakta, dokumen-dokumen atau sebarang bukti dan saksi berkaitan isu tanah Taman Manggis atau banglo yang dibeli Guan Eng mengemukakannya kepada SPRM daripada mengadakan debat secara terbuka.
Sebelum ini, Abdul Rahman mencabar Guan Eng untuk berdebat mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi milik syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) kerana dijual kepada pihak ketiga.
Cabaran itu disahut oleh Guan Eng dan RTM serta TV3 juga turut bersedia untuk menyediakan platform debat berkenaan.