Timbalan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata, 78 artikel yang diterbitkan SR mengenai Sarawak dan kaum Penan, sebahagian besar artikel itu tidak mempunyai fakta kukuh.
Katanya, artikel berkenaan akan menyebabkan nama baik Sarawak tercemar sekaligus menjejaskan minat pelabur-pelabur asing untuk melabur di Sarawak.
“Kedua-dua media ini beroperasi di London. Terbitan dan sebaran maklumat yang dibuat oleh pihak ini telah diterbitkan di peringkat antarabangsa.
“Oleh itu, kami mendapati ia akan memberi kesan yang buruk kerana kerajaan negeri telah bertungkus lumus dan mengeluarkan belanja yang besar untuk menjaga alam sekitar negeri Sarawak dan juga menjaga kaum Penan.
“Pelbagai tohmahan yang disebarkan oleh SR terhadap kaum Penan. Sedangkan di sini, kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan Negeri Sarawak, Ketua Menteri Sarawak habis-habisan membantu kaum Penan,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PMSP, hari ini.
Mengulas lanjut, Zakwan berkata, artikel SR sebelum ini yang menggesa agar gaya hidup dan corak kehidupan kaum Penan tidak diganggu juga meragukan.
“Mereka (SR) yang mengeluarkan perkara negatif tentang Sarawak, mereka sendiri tidak duduk di Sarawak, mereka duduk di London.
“Mereka kata kaum Penan harus dikekalkan dengan keadaan tersebut, tetapi mereka sendiri memakai baju, beli belah sana-sini. Takkanlah hendak biarkan kaum Penan terus memakai cawat lagi dua ratus tahun,” jelasnya.
Katanya, dakwaan itu tidak adil kerana masyarakat pribumi Sarawak perlukan pemodenan dan juga pelajaran.
Justeru, suatu laporan polis telah dibuat terhadap dua media berkenaan dan pihak polis telah memaklumkan kepadanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana mensabotaj negara.