Kerajaan lulus pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton

Kerajaan lulus pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton

Sebahagian besar pinjaman itu bagi membolehkan Proton membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya

mustapa-mohamed_proton_600

KUALA LUMPUR:
Kerajaan hari ini meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebahagian besar daripada pinjaman itu adalah untuk membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Beberapa syarat turut dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan, katanya.

“Antara syaratnya, Proton perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara khususnya, Mustapa berkata, Proton antara lain perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat itu serta menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

Selain itu, Proton juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa, katanya.

Beliau berkata, sebuah pasukan petugas yang diketuai Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.

“Pasukan ini akan mempunyai tiga wakil, masing-masing dari sektor swasta dan sektor awam. Wakil kerajaan ialah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Miti dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin,” katanya.

Mustapa berkata, selain memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lepas, mengenal pasti kelemahan serta langkah untuk mengatasinya.

Beliau berkata, industri automotif adalah sebuah industri yang strategik, dengan Proton mempunyai 12,000 pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 orang bekerja dengan syarikat vendor yang bergantung kepada Proton.

“Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan
Proton,” katanya.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.