Kenapa saya perlu letak jawatan kerana kebodohan orang lain

Kenapa saya perlu letak jawatan kerana kebodohan orang lain

Paul Low berkata, pemberi maklumat tidak patut berbuat demikian demi kepentingan politik

paul-low-lim-gaun-eng

PETALING JAYA:
Pemberi maklumat tidak patut berbuat demikian demi meraih publisiti dan kepentingan politik, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

“Jadi, kenapa saya perlu berundur disebabkan kebodohan orang lain? Jika orang lain yang melanggar undang-undang, kenapa saya perlu meletak jawatan?

“Jangan beritahu saya, jika seseorang melanggar lampu merah, penyokongnya akan meminta Menteri Pengangkutan berundur,” katanya kepada FMT sebagai menjawab desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu beliau meletak jawatan atas penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan sebagai berkata, jika Paul meletak jawatan, ia adalah satu bentuk mesej kepada kerajaan untuk melindungi pemberi maklumat berkaitan rasuah.

Paul bagaimanapun menegaskan, pemberian maklumat itu perlu dibuat melalui saluran betul, bukannya demi ‘glamor seketika’.

Tambahnya lagi, apabila seseorang itu prihatin terhadap sesuatu perkara, ia tidak patut dijadikan perbicaraan oleh media.

“Ia bukan terpulang kepada orang ramai untuk menghukum perkara itu betul atau salah, tetapi untuk pihak berkuasa memutuskan jika wujud sebarang elemen salah laku dan mengambil tindakan sewajarnya.”

Rafizi yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung DAP, ditahan polis sebaik keluar dari kawasan Parlimen, semalam.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), kerana menyampaikan rahsia rasmi kerajaan secara salah.

Beliau direman selama tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dokumen rasmi kerajaan dan dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.