Zuraida nafi rasuah, risiko keselamatan punca pindah

Zuraida nafi rasuah, risiko keselamatan punca pindah

Sekumpulan peniaga di Bukit Ampang diarah berhenti berniaga, kerana membahayakan keselamatan dan kesihatan orang ramai

zuraida

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana (IKHLAS) kononnya beliau menghalang peniaga berniaga di Bukit Ampang tanpa sebab.

Zuraida berkata, sebab utama mereka diarahkan berhenti berniaga di lokasi terbabit, kerana ia mendatangkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan orang ramai.

“Kawasan perniagaan itu tidak selamat menjalankan perniagaan, kerana terletak di selekoh dan terdedah kepada kemalangan jalan raya.

“Peniaga-peniaga juga menggunakan air bukit di situ yang tidak bersih dan takut dijangkiti virus kencing tikus dan sebagainya.

“Disebabkan itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak benarkan berniaga,” katanya kepada FMT.

Zuraida turut menafikan dakwaan beliau merasuah dan menyalahgunakan kuasa.

“Saya tidak faham kenapa IKHLAS mahu menuduh saya terlibat dengan rasuah. Sedangkan saya dan MPAJ sedang mencari tempat untuk memindahkan peniaga ke kawasan yang lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, ADUN Lembah Jaya yang mewakili PAS, Khasim Abdul Aziz mencabar Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah dan peniaga terbabit membuat laporan polis, jika wujud unsur rasuah.

“Jika kata saya rasuah, buat laporan polis. Saya dah beri cadangan supaya mereka sabar, tetapi tak nak dengar cakap saya, lebih suka buat demonstrasi dengan IKHLAS,” katanya.

Sebelum itu, Ridzuan telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meminta Zuraida, Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain dan Khasim yang didakwa terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa disiasat, kerana menghalang peniaga berniaga di Bukit Ampang.

Pada masa sama, Ridzuan turut menggesa peniaga di Bukit Ampang meneruskan perniagaan seperti biasa dan tidak mengalah dengan sebarang desakan daripada pihak berkuasa di Ampang, memandangkan tindakan Zuraida yang didakwa meminta sekumpulan peniaga di Bukit Ampang menghentikan perniagaan mereka selama lapan tahun, tidak munasabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.