‘Jatuh bukan tanda kalah’ – Adam Norrodin

‘Jatuh bukan tanda kalah’ – Adam Norrodin

Adam berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi kata semangat kepadanya walaupun dia tidak berjaya menamatkan perlumbaan di Argentina.

Adam-Norrodin
PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara yang mewakili Drive M7 SIC Racing Team, Adam Norrodin berkata kegagalannya untuk meraih kedudukan podium tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk melakar kejayaan dalam perlumbaan akan datang.

“Saya bukan yang terbaik, tetapi saya cuba untuk menjadi yang terbaik. Jatuh bukan tanda kalah, jatuh adalah tanda untuk terus ke depan.

“Tuhan tidak akan memberi ujian kalau kita tidak mampu memikulnya. Mungkin tuhan bagi aku ujian untuk race (perlumbaan) kali ini,” katanya di laman Facebooknya.

Adam membuat komen itu selepas dia menjadi perhatian seluruh dunia dan menerima pujian daripada netizen kerana kegigihannya untuk menamatkan perlumbaan itu walaupun telah terjatuh di selekoh terakhir kira-kira 20 meter dari garisan penamat.

Dia menjadi tumpuan apabila bangun dan menolak jenteranya ke garisan penamat untuk menduduki tempat ke-11.

Dalam masa sama, Adam juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukannya serta rakyat Malaysia yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Doakan yang terbaik untuk saya dalam perlumbaan seterusnya. Terima kasih sebab sentiasa menyokong,” katanya.

Pada perlumbaan Grand Prix Argentina di Litar Termas De Rio Hondo pada awal pagi Isnin itu, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang mewakili Honda telah memenangi kejuaraan pertama sepanjang kerjayanya.

Kemenangan itu menyaksikan buat kali pertamanya, lagu Negaraku berkumandang mengiringi upacara penyampaian hadiah, apabila Khairul Idham muncul pemenang menewaskan Jorge Navarro dari Sepanyol dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.