Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, ia selaras dengan desakan supaya kerajaan melakukan transformasi kepada sistem teksi agar dapat memberi keselesaan terhadap penumpang.
Ia sekaligus mengembalikan minat pelanggan yang beralih arah kepada perkhidmatan Uber dan Grab yang dikatakan menawarkan perkhidmatan jauh lebih baik daripada teksi.
“Kerajaan kini sedang menjalankan transformasi kepada sistem teksi sedia untuk bergerak sama seperti aplikasi Uber dan Grab, dalam tahun ini juga. Akan ada aplikasi untuk sistem teksi,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengariskan beberapa dasar bagi memastikan isu antara pemandu teksi dan Uber dan Grab dapat diselesaikan secara adil.
Aziz yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata pihak kerajaan juga akan mewajibkan supaya pemandu Uber dan Grab mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) sebelum memulakan operasi.
“Memang akan diwajibkan kepada aplikasi Uber dan Grabcar untuk mengikut perundangan kerajaan yang ada.
“Ya akan (melibatkan faktor menang-menang antara teksi dan aplikasi Uber dan Grabcar) memang kita akan mengambil semua kepentingan termasuk teksi sedia ada kita akan bela mereka, bukan singkirkan mereka. Tidak sekali. Tolong percaya kepada kerajaan, akan mengambil pendekatan semua orang.
“Haram sekiranya mereka tidak berdaftar dengan kerajaan dimana garis panduan yang kerajaan telah tetapkan, dalam waktu terdekat kerajaan akan mengeluarkan satu garis panduan baru melalui transformasi industri teksi,” katanya.
Minggu lalu, lima lelaki ditahan polis susulan tunjuk perasaan pemandu teksi terhadap perkhidmatan kereta sapu profesional, Uber dan Grab.
