Disiarkan oleh Australian Broadcasting Corporation pada Isnin lepas, program itu turut menyelitkan temu bual Tun Dr Mahathir Mohamed di samping pendedahan surat yang menunjukkan wang yang dibayar ke dalam akaun Najib pada tahun 2013 adalah ‘hadiah’ ahli keluarga diRaja Saudi.
Dr Mahathir menyifatkan surat itu sebagai ‘menakjubkan’ apabila individu yang diakui sebagai “Putera Arab Abdulaziz Al-Saud” pada tahun 2011 seolah-olah sudah tahu bahawa pada tahun 2014, isu kewujudan ‘hadiah’ ini akan diungkit, didedah dan dipersoal justeru memerlukan penjelasan mengenainya.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan laporan Four Corners telah membuktikan kebenaran dakwaan bahawa deposit sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya pada tahun 2013 adalah sumbangan politik bagi membantu kempen pilihan raya Barisan Nasional.
Dr Mahathir berkata, “Ini adalah berita baik, maka televisyen kerajaan harus menyiarkan berita ABC supaya semua orang tahu bahawa Najib berada di sisi benar. Tetapi jangan hanya siarkan sebahagian daripada program. Tunjukkan siaran laporan ABC yang sepenuhnya… ini untuk membuktikan Najib tidak bersalah.”
Beliau juga menggesa kerajaan untuk menubuhkan ‘Suruhanjaya Berkecuali’ untuk menyiasat sumbangan derma, menyambung dari titik pasukan petugas kerajaan sebelum ini berhenti.
Pasukan petugas terdahulu terdiri daripada Gani Patail, bekas Peguam Negara; Zeti Abdul Aziz, Gabenor Bank Negara; Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara; dan Abu Kassim Mohamed, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Ia dibubarkan selepas kontrak Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan atas alasan kesihatan.
Dr Mahathir, yang mengetuai kempen sepanjang tahun memaksa Najib disingkir dari kerajaan berkata, kenyataan kerajaan khususnya oleh ahli-ahli politik diragui dan langsung tidak meyakinkan.
Merujuk kepada surat yang kononnya dari penderma, ditunjukkan dalam program Four Corners, Dr Mahathir berkata, orang yang menulis surat itu perlu dipersoalkan dari segi sumber harta, bank, dan cara pemindahan wang tersebut ke akaun peribadi Najib.
Dr Mahathir berkata, surat itu penuh dengan percanggahan mengenai tarikh, jumlah wang dan kekerapan pembayaran wang yang dihantar ke akaun Najib.
Beliau juga mempersoalkan penggunaan sebuah syarikat bernama Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd dalam syarikat Kepulauan Virgin British yang kewujudannya telah dinafikan oleh Blackstone Group Amerika Syarikat.
