Laporan media antarabangsa isu RM2.6 bilion tidak professional

Laporan media antarabangsa isu RM2.6 bilion tidak professional

Akhbar tempatan memetik laporan WSJ yang akhirnya mengakui bahawa dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perdana menteri adalah dari Arab Saudi.

mahadzir

PETALING JAYA:
Percanggahan laporan oleh media antarabangsa, khususnya The Wall Street Journal (WSJ) disifatkan sebagai tidak profesional dan mewujudkan persepsi buruk terhadap Malaysia.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, isu dana RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berikutan fakta berita yang dilaporkan adalah samar-samar dan tidak konsisten.

Selain mendakwa laporan itu bercanggah, akhbar berpengaruh itu juga dikatakan sengaja mewujudkan agenda dan strategi untuk menjatuhkan Najib.

“Berdasarkan laporan pada 2 Julai 2015, akhbar itu menyebut wang RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun perdana menteri datang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Tapi lepas itu, terbaru WSJ melaporkan dana itu dari Arab Saudi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘1Sekolah 1Silat’ peringkat kebangsaan dengan kerjasama Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, lapor Bernama.

Mahdzir, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata fakta yang tidak tepat dalam laporan itu kemudian diviralkan dan akhirnya orang awam menganggap berita itu sebagai satu kebenaran.

Hari ini, beberapa akhbar tempatan memetik laporan WSJ yang akhirnya mengakui bahawa dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perdana menteri adalah dari Arab Saudi dan bukannya milik 1MDB.

Laporan itu bercanggah dengan laporan yang disiarkan WSJ sendiri pada 2 Julai tahun lalu, yang menyatakan dana itu adalah daripada 1MDB dan dimasukkan
ke dalam ke akaun Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.