
Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof apabila menaruh keyakinan usaha pembangkang yang mengamalkan politik seperti itu tidak akan berjaya.
Menurutnya, rakyat Sarawak yang majorti mempunyai pelbagai kaum dan anutan agama bukan sahaja mencintai perpaduan dan keharmonian malah turut memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Rakyat Sarawak cukup matang untuk membezakan antara ‘kaca dengan permata’. Pembangkang hanya menabur perasaan benci terhadap kerajaan dan tidak membawa sebarang hasil berbanding BN yang mengamalkan politik perpaduan, keharmonian dan kestabilan.
“Malah kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Mohd Najib telah menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah untuk negeri Sarawak serta kerap datang ke Sarawak untuk meninjau sendiri keperluan rakyat dan mendengar suara hati rakyat di negeri ini,” katanya yang dipetik dari laman portal UMNO-Online.
Fadillah yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menambah, kerajaan BN ‘cakap serupa bikin’ dan ini dapat disaksikan bukan sahaja dengan peruntukan pembangunan yang besar untuk Sarawak, malah projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16.5 bilion dari Telok Melano ke Miri, kini dalam pelaksanaan.
Justeru, tegasnya pembangkang yang kini dilanda pelbagai masalah dalaman dan tidak sehaluan sesama mereka, janganlah ‘bermimpi di siang hari’ kerana seluruh jentera BN akan bekerja keras untuk memastikan Sarawak akan terus kukuh sebagai kubu kuat BN.