ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Azmin telah memaklumkan bahawa struktur dan perincian operasi DEIG sudah siap dan akan dibentangkan kepada penasihat undang-undang sebelum dibawa pada sidang dewan.
“Persoalan saya, setakat mana pelaksanaanya, mana strukturnya, apa perincian operasinya dan siapa jawatankuasa pemantaunya?
“Sudahkah ia di dalam makluman jabatan audit ataupun ia hanya satu retorik dan mainan politik sahaja,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Azmin, dalam ucapan penggulungan Bajet Selangor 2016 pada sidang DUN November lalu,menyatakan kerangka struktur operasi DEIG telah siap untuk diberi kepada Penasihat Undang-undang Negeri bagi mendapat maklum balas perundangan sebelum dibahaskan di dewan.
Katanya, kerangka itu perlu diberi kepada Kamar Penasihat Undang-undang Negeri terlebih dahulu bagi memastikan perjalanan operasinya dipantau jawatankuasa yang dilantik kerajaan Selangor.
Mat Nadzari menegaskan, pihaknya menyuarakan kebimbangan DEIG akan disalah guna dan dijadikan sebagai ‘mesin membuat duit’.
“Ini bukan olok-olok, cuba buka laman web DEIG, akan kelihatan sekarang perkataan ‘sedang diselenggara’.
“Takkanlah sebagai satu syarikat berwibawa yang digambarkan tersohor satu hari nanti, yang akan memberi keuntungan banyak kepada kerajaan negeri, sengaja nak menyorok maklumat dengan berselindung dengan laman web yang sedang diselenggara,” tegasnya.