Perdana Menteri juga menasihatkan orang ramai mengehadkan aktiviti luar susulan cuaca panas yang semakin membimbangkan dengan suhu menghampiri 40 darjah Celcius.
Katanya, Kementerian Kesihatan melaporkan sembilan kes berkaitan cuaca panas melampau termasuk masalah kelesuan haba dan kekejangan haba yang berlaku, setakat ini.
“Bagi golongan kurang bernasib baik seperti gelandangan dan warga tua, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) haruslah memantau mereka. Bantu mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan jika diperlukan,” katanya menerusi status di Facebook.
Cuaca panas disebabkan kesan El Nino Kuat yang melanda negara ketika ini dan diramalkan berterusan sehingga Jun ini.
El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik kawasan Khatulistiwa yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun.
Fenomena El Nino kuat yang pernah melanda negara ialah pada tahun 1997/1998 dengan suhu tertinggi dicatatkan pada 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis.
