Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Sungai Melut, Johan Mat ketika wawancara eksklusif bersama FMT, baru baru ini.
Katanya, air licit yang terhasil daripada sampah mengalir ke Sungai Langat sekali gus menyebabkan pencemaran yang teruk.
“Air sungai jadi keruh kerana sampah ini dan inilah yang tidak disukai Orang Asal Sungai Melut. Sungai ini nadi kepada Orang Asal.
“Sungai Langat adalah tempat kami memancing dan sumber rezeki kepada orang ramai dan sekarang sudah jadi macam ini,” katanya.
Johan berkata, pencemaran Sungai Langat disebabkan pembukaan tapak pelupusan sampah oleh gengster adalah antara penyebab Orang Asal Sungai Melut menentang samseng terbabit.
“Sudahlah ambil tanah rizab pertanian kami sesuka hati. Buka pula pusat pelupusan sampah. Kampung berbau busuk dan kemudian mencemarkan Sungai Langat.
“Saya tidak faham kenapa pihak berkuasa boleh diam sahaja. Terlalu banyak onar yang dibuat gengster ini di Kampung Orang Asal Sungai Melut,” katanya.
Johan mendakwa, penguatkuasa dan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang datang untuk pemantauan dan pemeriksaan kualiti air Sungai Langat diugut dan dihalau gengster terbabit.