Justeru Najib meminta lebih masa untuk beliau melakukan lebih banyak kerana perjalanan membangunkan negara pasti memerlukan masa yang agak panjang.
“Tidak boleh selesai dalam satu penggal dan kita sekarang dalam perjalanan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju.
“Ciri-ciri tersebut semua kita telah lihat sekarang,” kata beliau, sambil mengulangi komitmen kerajaan pusat untuk terus membantu Sarawak membangun setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung.
“Ini kunjungan kali-48 saya ke Sarawak sejak menjadi perdana menteri. Seperti kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, setiap kali saya datang, tidak dengan tangan kosong… pasti membawa bersama dana peruntukan untuk membantu Sarawak,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Santai Bersama Warga Emas di sebuah hotel di sini hari ini, anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dan dihadiri kira-kira 2,000 warga
emas dari sekitar Sibu.
Beliau menegaskan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sebagai pilihan terbaik rakyat Sarawak kerana kerajaan pusat dan negeri bersama-sama membawa Malaysia dan Sarawak untuk terus maju bersama.
Najib berkata perubahan yang dilakukan BN dibuat secara teratur dan tersusun, jauh bertentangan dengan pembangkang yang inginkan perubahan drastik.
Malah beliau turut menyarankan agar ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee supaya kekal diundi pada Pilihan Raya Negeri ke-11 kelak.
“Apabila saya terima nama Dr Annuar untuk mempertahankan kerusi DUN Nangka, saya sebagai Pengerusi BN ‘endorsed’ sepenuhnya. Pengundi DUN Nangka bertuah… bukan senang untuk mendapat seorang wakil rakyat seorang doktor yang juga pakar kardiologi,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib turut memuji majlis tersebut yang diadakan khusus untuk melaporkan pencapaian Dr Annuar selama menjadi ADUN dan perancangan masa depannya.
“Kita dapat tengok ‘report card’ itu tentu kita lebih yakin…kita ada kerajaan pusat, kerajaan negeri dan wakil rakyat yang semuanya berhasrat untuk menolong, membantu membawa negara dan Sarawak ke arah keadaan yang lebih baik,”
katanya.
