Hanya gambar pengubat rindu – rakan Aminulrasyid

Hanya gambar pengubat rindu – rakan Aminulrasyid

Terlalu banyak kenangan manis bersama arwah Aminulrasyid, namun sebagai rakan tetap reda dengan pemergiannya

SHAH ALAM:
Irfan Atiffe Mohd, rakan Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu bersyukur apabila keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada keluarga rakan sepermainannya itu.

Irfan, 21, yang bakal melanjutkan pelajarannya di Akademik Laut Malaysia tahun ini, berkata kemenangan itu sangat dinantikan oleh rakan Aminulrasyid.

Walaupun reda dengan pemergian Aminulrasyid, kemenangan itu sedikit sebanyak dapat mengubati kesedihan atas kematian Aminulrasyid.

“Saya reda dengan pemergiannya dan masih rindu dekat dia. Saya anggap dia (arwah) sebagai kawan baik saya.

“Memang dari dulu harap kes ini akan menang, semalam saya tengok berita pun alhamdulilah dia menang. Saya puas hati,” katanya kepada pemberita di rumah keluarga Aminulrasyid di sini, semalam.

Irfan Atiffe yang juga rakan sekolah Aminulrasyid menceritakan saat kenangan manis dan pahit bersama Aminulrasyid yang tidak dapat dilupakannya.

Dahulunya, dia dan Aminulrasyid mempunyai impian yang sama iaitu ingin menjadi pemain bola sepak.

Namun, impian Aminulrasyid tidak kesampaian apabila dia mati ditembak polis dalam insiden enam tahun lalu itu.

Katanya, hanya gambar yang menjadi pengubat rindu kenangannya bersama Aminulrasyid.

“Gambar semua ada. Semua gambar saya dengan dia masih saya simpan dan tidak akan saya lupakan.

“Jika dulu kenangan manis adalah kami mempunyai cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi pemain bola sepak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.