Guan Eng berkata, kenyataan Pemuda UMNO gagal membuktikan syarikat Phang adalah satu-satunya syarikat yang disenarai dalam direktori pelaburan negeri sebagai agensi pekerja asing, tetapi salah satu daripada 30 agensi sepertinya.
Beliau dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pihaknya telah menamatkan kontrak agensi pekerja asing ekoran dasar kerajaan negeri untuk tidak menggaji pekerja asing. Mereka telah digantikan dengan 2,500 pekerja Malaysia, katanya.
Katanya, tidak ada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mencari perkhidmatan Phang sebaliknya mana-mana syarikat boleh mohon untuk disenaraikan dalam direktori InvestPenang yang mana fungsinya sama seperti Yellow Pages mini.
Pemuda UMNO mengeluarkan kenyataan mengenai Phang berikutan kontroversi pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn daripada Phang pada harga RM2.8 juta pada tahun 2012.
Persoalan mengenai pembelian hartanah yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran itu turut dibangkitkan di Parlimen.
Pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat hubungan antara Phang dan sebuah syarikat yang membeli tanah kerajaan yang bertujuan untuk pembinaan perumahan awam tetapi syarikat itu dikatakan berhasrat untuk membina sebuah hospital dan hotel swasta.
Guan Eng berkata InvestPenang mempunyai banyak senarai lain perkhidmatan profesional untuk menghebahkan nama-nama dan perkhidmatan daripada syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang, dan syarikat-syarikat ini tidak semestinya mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri.
