Bekas MB Selangor lega tidak dijemput ke mana-mana himpunan

Bekas MB Selangor lega tidak dijemput ke mana-mana himpunan

Khalid memberitahu tidak mahu buang masa dan berjanji kosong dengan menyertai himpunan Deklarasi Rakyat mahupun himpunan selamatkan Malaysia.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

PETALING JAYA:
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lega dan senang hati apabila tidak dijemput untuk menyertai mana-mana himpunan.

Memetik laporan Sinar Online, Khalid memberitahu himpunan yang dilakukan hanya kerja sampingan dan beliau tidak mahu membuang masa dan berjanji kosong menyertai himpunan Deklarasi Rakyat mahupun himpunan selamatkan Malaysia.

“Kalau UMNO jemput pun, saya tak pergi. Sebelah sana pun saya tak pergi. Sebab saya rasa… kita terlalu banyak membuat kerja-kerja sampingan, permainan sampingan tapi isu utama, tidak selesaikan.

“Jadi, saya tidak mahu buang masa bercakap atau berjanji tetapi tidak membuat apa-apa selepas itu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Khalid juga menyatakan rakyat pada hari ini mempunyai pilihan untuk menjadikan negara ini lebih baik.

“Saya rasa masa yang kita gunakan itu lebih baik kalau kita gunakan…misalnya, kalau anda seorang doktor, kita boleh buat ‘free clinic’ untuk rumah kos rendah dan sebagainya serta beri galakkan kepada anak-anak mereka supaya belajar lebih baik untuk jadi doktor.

“Kalau kita akauntan, kita boleh buat satu kursus usahawan muda membimbing mengira akaun kemudian ajar mereka bagaimana nak menjaga pengurusan yang baik. Maksudnya, ada lagi pilihan lain yang boleh kita lakukan,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan pengalaman yang dialami negara jiran, Thailand dan Filipina, perbalahan dua kelompok itu akhirnya hanya akan merugikan rakyat.

“Berarak sekali sekala itu bolehlah, tapi ikut tatacara kita, saya rasa negara Malaysia tidak perlu.

“Seperti di Thailand, rakyat rugi kerana demokrasi tidak lagi berlaku apabila dikuasai tentera. Pergaduhan dua kumpulan yang menegakkan demokrasi menghasilkan tiada lagi demokrasi. Jadi, kita kena fikir dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Katanya, meskipun pengurusan negara hari ini tidak sebaik yang diharapkan, namun sekurang-kurangnya rakyat menikmati pembangunan.

“Tapi yang kita perlukan ialah lebih cekap, lebih bersih dan lebih bertanggungjawab. Itu sahaja. Bukan tujuan kita untuk revolusi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.