Datuk Vida dinasihat jangan membazir

Datuk Vida dinasihat jangan membazir

Ia disebabkan PPBN telah menjalankan pelbagai usaha untuk melahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa untuk negara di setiap negeri.

vida_safirul-azli_Lim-Teong-Kim_kelantan_600

PETALING JAYA:
Datuk Seri Hasmiza Othman dinasihatkan agar tidak membazirkan dana yang ada semata-mata mahu mendapatkan Lim Teong Kim untuk berkhidmat sebagai jurulatih di akademi miliknya.

Sebaliknya, beliau diajak untuk mewujudkan kerjasama dengan pihak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bagi menambahbaik pusat-pusat PPBN di Kelantan.

Nasihat itu diberikan oleh Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar yang memberitahu, pihaknya telah menjalankan pelbagai usaha untuk melahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa untuk negara di setiap negeri.

“Tidak perlu membazir untuk buat program pembangunan lain kerana kami memang melatih bakat-bakat terbaik di setiap negeri.

“Kaedah dan falsafah latihan yang diguna pakai di Kelantan juga adalah sama seperti apa yang diajar Teong Kim,” katanya lapor mStar Online.

Menurut Safirul, pihaknya memang terbuka untuk berbincang dengan semua persatuan bola sepak negeri, malah pada masa ini pun sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

“Untuk rekod, Kelantan kini mempunyai Akademi Tunas di Kota Bharu (dua buah pusat latihan daerah), Pasir Puteh (1), Tanah Merah (1) dan sebuah Sekolah Sukan Negeri Kelantan,” ujarnya.

Semalam, mStar Online melaporkan, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berhasrat untuk mendapatkan khidmat Teong Kim yang merupakan Pengarah Teknikal PPBN untuk dijadikan jurulatih kerana memiliki pengalaman luas dalam melahirkan pemain bola sepak bertaraf dunia.

Sabtu lalu, Vida dilapor mahu menubuhkan Akademi Bola Sepak Datuk Seri Vida (DSV) yang akan memberi tumpuan kepada pemain berusia 13 hingga 18 tahun di Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.