Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tanah itu masih atas nama Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) dan syarikat itu perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri jika mahu menjual kepada pihak ketiga.
“Setakat ini, syarikat ini tidak pernah membuat permohonan (untuk menjual kepada pihak ketiga),” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Semalam di Dewan Rakyat, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendakwa beliau mempunyai dokumen yang membuktikan tanah itu akan dijual kepada pihak ketiga.
Katanya, beliau sedia menyerahkan dokumen itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan terhadap Guan Eng.
SPRM telahpun membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa saksi dalam kes pembelian banglo berharga RM2.8 juta oleh Guan Eng yang dijual di bawah harga pasaran dan dikaitkan dengan penjualan tanah Taman Manggis.
Guan Eng dikaitkan dengan penjualan Tanah Manggis, yang sepatutnya dibangunkan projek perumahan rakyat, kepada KLIDC yang dikatakan jual di bawah harga pasaran yang didakwa sebagai pertukaran untuk mendapatkan diskaun bagi pembelian banglo daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon.
Bagaimanapun, Li Koon dalam Akuan Sumpah menafikan tuduhan itu dan menegaskan dia menjual dengan rela hati malah bangga kerana menjual banglo kepada Guan Eng yang banyak membangunkan Pulau Pinang.
Li Koon juga mengaku dia tidak menyemak harga pasaran sebelum menjual banglo itu kepada Guan Eng.
Dalam perkembangan berkaitan, Tony Pua yang turut hadir dalam sidang media itu membidas Pemuda UMNO Pulau Pinang kerana mempersoalkan anak syarikat kerajaan negeri, InvestPenang yang meletakkan nama syarikat yang mana Li Koon memegang saham 20 peratus di laman sesawangnya.
“InvestPenang seperti direktori yang menyenaraikan semua syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang. Ia bukan bukti syarikat itu ada urusan dengan kerajaan negeri.
“InvestPenang seperti Yellow Pages, mungkin mereka tidak tahu apa itu Yellow Pages,” katanya.
