Keluarga Aminulrasyid dapat ganti rugi RM414,800

Keluarga Aminulrasyid dapat ganti rugi RM414,800

Mahkamah mendapati Jenain telah bertindak secara melulu dan bertentangan dengan piawaian

Koperal-Jenain-Subi

SHAH ALAM:
Keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu, memperoleh ganti rugi RM414,800 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap Koperal Jenain Subi dan empat yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan tuntutan itu selepas mendapati pihak keluarga mangsa berjaya membuktikan dakwaan mereka terhadap defendan.

Dalam penghakimannya sebentar tadi, Ahmad Zaidi berkata, setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati Koperal Jenain Subi telah bertindak secara melulu dan bertentangan dengan piawai dalam perintah tetap Ketua Polis Negara.

Mahkamah juga membenarkan tuntutan keluarga terhadap Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang merupakan Ketua Polis Selangor pada ketika kejadian, atas dakwaan memberikan kenyataan yang seolah-olah cuba menyembunyikan tindakan pegawai bawahannya.

Ibu kepada Aminulrasyid, Norsiah Mohamed, 66, bersyukur dengan keputusan mahkamah.

Katanya, dengan keputusan itu mahkamah sekaligus telah membersihkan nama baik anaknya dan keluarga.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan ia sebahagian daripada doa saya. Saya harap tidak ada sebarang tuduhan dibuat terhadap keluarganya,” kata Norsiah.

Saman difailkan oleh Norsiah dan kakak mangsa, Nor Azura Amzah terhadap Jenain, yang didakwa melepaskan tembakan dalam kejadian kejar-mengejar berkereta pada malam 26 Apr 2010; ketua polis daerah Shah Alam pada waktu kejadian; Tan Sri Khalid; ketua polis negara masa itu dan kerajaan Malaysia, pada 17 April 2013.

Keluarga menuntut ganti rugi hampir RM50 juta untuk kematian anak dan adik mereka yang didakwa akibat luka terkena peluru. Jenain disabit kesalahan oleh Mahkamah Sesyen kerana mengakibatkan kematian Aminulrasyid pada 13 Sep 2011.

Namun beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2012 dan 2013.

Susulan itu, Norsiah dan anaknya yang juga kakak mangsa, Nor Azura, memfailkan saman terhadap kerajaan dan menuntut ganti rugi hampir RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.