“Saya tak akan lupa cubaan malukan Istana Johor ” – TMJ

“Saya tak akan lupa cubaan malukan Istana Johor ” – TMJ

Beliau menasihatkan pemimpin menghindarkan sikap tamak haloba dan gila kuasa untuk mengelak krisis Perlembagaan pada 1992 berulang.

ismail

PETALING JAYA:
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengingatkan pemimpin hari ini supaya menjadikan krisis Perlembagaan pada tahun 1992 sebagai pengajaran untuk tidak bersikap tamak dan haloba.

Katanya, pemimpin juga perlu menjadikan peristiwa hitam itu sebagai teladan untuk tidak bersikap gila kuasa.

Tunku Ismail bertitah, beliau tidak akan lupa krisis Perlembagaan pada tahun 1992 yang melibatkan Istana Johor dengan Kerajaan Persekutuan, di mana pegawai Kerajaan Persekutuan cuba memalukan Istana Johor.

“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Ahli EXCO Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaik pulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di istana-istana Johor.

“Malah Bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci.

“Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataanya di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Kenyataan beliau tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, namun umum mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri ketika itu.

Tunku Ismail berharap pemimpin-pemimpin masa kini tidak mengulangi sejarah hitam itu yang menggunakan rakyat untuk kepentingan peribadi.

“Saya berharap agar sejarah hitam tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya berdoa agar kita boleh memberikan tumpuan untuk menjadikan negara kita ini tempat yang lebih baik pada masa akan datang, demi rakyat,” katanya.

Tunku Ismail bertitah, baginda mengakui hubungan Istana Johor dengan Kerajaan Persekutuan sudah pulih dan dalam keadaan baik

“Saya menghargainya. Saya berharap ia bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.