Letupan di lapangan terbang, stesen metro di Brussels, lebih 10 maut

Letupan di lapangan terbang, stesen metro di Brussels, lebih 10 maut

Beberapa lama selepas letupan di lapangan terbang pada pagi Selasa, satu lagi letupan dilapor berlaku di stesen metro di tengah-tengah ibu negara Belgium.

PETALING JAYA:
Lebih 10 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam dua letupan di Lapangan terbang Brussels Zaventem, Belgium.

Beberapa lama selepas letupan di lapangan terbang pada pagi Selasa, satu lagi letupan dilapor berlaku di stesen metro di tengah-tengah ibu negara Belgium, berhampiran dengan institusi Kesatuan Eropah, lapor Al-Jazeera.

Rakaman dari lapangan terbang menunjukkan orang ramai lari bertempiaran dari bangunan terminal selepas kepulan asap naik ke langit.

Letupan kuat di lapangan terbang antarabangsa utama negara itu juga menyebabkan bahagian silingnya jatuh dan tingkap-tingkap pecah berkecai.

Manakala, Stesen Brussels Central dikosongkan dan semua laluan metro ditutup sebaik selepas letupan berlaku.

Seorang saksi di Maalbeek berkata, orang ramai dengan kesan darah di muka dilihat di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan amaran keganasan tahap kritikal di seluruh negara ekoran kejadian letupan itu.

Agensi berita Reuters melaporkan beberapa das tembakan dilepaskan sebelum letupan di lapangan terbang.

Media tempatan pula melaporkan letupan berlaku berhampiran American Airlines ketika beratus-ratus penumpangnya sedang mendaftar masuk.

Negara itu diletakkan di bawah pengawasan berjaga-jaga sejak suspek utama serangan di Paris tahun lalu yang menyebabkan 130 orang mati, Salah Abdeslam, ditahan di Brussels pada minggu lepas.

Menteri Dalam Negeri Belgium, Jan Jambon, berkata pada Isnin lepas, negaranya ada menyedari risiko kemungkinan serangan balas dendam berikutan penangkapan Abdeslam yang berusia 26 tahun itu.

“Kita tahu tindakan ini akan membawa kepada reaksi yang tidak diingini. Dalam kes ini, kami sedar perkara ini akan berlaku,” katanya kepada sebuah radio awam di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.