Khairy sedia maklum SPRM siasat pegawai KBS

Khairy sedia maklum SPRM siasat pegawai KBS

Khairy, KSN bincang tubuh pasukan khas siasat kelompongan proses dan prosedur kewangan dalaman KBS

khairy-jamaluddin,kbs,sprm
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sedia maklum pegawai yang berkhidmat di kementeriannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Khairy, SPRM memaklumkan kepadanya beberapa minggu sebelum tangkapan keatas suspek dibuat pada 18 Mac lepas.

“KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima FMT.

Suspek diberkas sehari selepas beliau didakwa mengeluarkan RM500,000 dari salah-satu 69 akaun bank miliknya. SPRM turut menahan lapan individu lagi pada hari yang sama.

Lapan individu itu, termasuk seorang wanita, merupakan kontraktor daripada 14 syarikat yang menerima bayaran untuk program-program KBS yang tidak pernah dilakukan.

“Saya telah menyatakan kesediaan KBS dan agensi-agensi di bawahnya untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh,” kata Khairy.

Sementara itu, SPRM dilaporkan melebarkan radarnya bagi memastikan samada terdapat individu lain dalam kementerian atau mana-mana agensi dibawah KBS bersekongkol dengan suspek untuk menyeleweng wang sejak enam tahun lalu.

Menurut laporan Malay Mail itu, SPRM akan memanggil individu-individu daripada pelbagai program KBS, dimana RM100 juta yang diseleweng itu disalurkan, untuk membantu siasatan.

Menyusuli perkembangan ini, Khairy berkata pihaknya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara berkenaan penubuhan sebuah pasukan siasatan bebas “untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik proses dan prosedur kewangan dalaman KBS”.

“Suspek menyalahguna prosedur yang tidak memerlukan persetujuan daripada pihak atasannya (menteri atau ketua setiausaha kementerian) dan ini kelemahan yang dapat kami kenal pasti,” katanya dalam sidang media di KBS hari ini.

Sabtu lalu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata jumlah keseluruhan habuan yang diterima suspek ialah RM20 juta, termasuk RM8.33 juta baki wang di dalam akaun miliknya yang kini dibekukan

Selain itu, sebuah banglo dan sebuah rumah teres turut disita dan 12 buah kenderaan mewah dirampas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.