Guru kena maklum jika ada isteri warga Thai

Guru kena maklum jika ada isteri warga Thai

Guru atau mana-mana penjawat awam yang tidak mendapat kebenaran untuk ke luar negara boleh dikenakan tindakan tegas termasuk hilang keistimewaan sebagai penjawat awam.

madzhir-khalid
PETALING JAYA : Guru yang mempunyai isteri warganegara Thailand dan berulang-alik ke negara berkenaan diminta untuk memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, guru dikesan paling kerap berulang alik keluar negara dan sudah tentu ada dalam kalangan mereka yang tidak mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Katanya, walaupun hanya tinggal di Golok atau kawasan yang berhampiran sempadan negara, guru tetap perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan supaya ada rujukan sekiranya berlaku sebarang kejadian.

Tambahnya, ia bagi memudahkan proses kelulusan ke luar negara seperti yang diwajibkan kepada setiap penjawat awam untuk mendapatkan kebenaran daripada jabatan masing-masing.

“Isytihar sahaja kalau ada isteri di Golok atau di mana-mana bahagian lain di luar negara. Ia menjadi satu kesalahan sekiranya pergi tanpa pengetahuan, dikhuatiri berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Mahdzir mengulas mengenai kejadian seorang guru yang ditemui mati lemas di Sungai Golok sempadan Malaysia-Thailand pada 28 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa Azami Mohamed, 38, dari Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai, Kelantan itu didapati tidak membuat permohonan untuk ke luar negara sebelum ini.

Mahdzir menjelaskan, guru atau mana-mana penjawat awam yang melanggar arahan berkenaan berdepan tindakan tegas termasuk tidak akan mendapat manfaat sebagai penjawat awam termasuk wang pencen.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.