Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama FMT Jumaat lalu, ketika diminta mengulas perangkaan oleh Kementerian Kewangan yang menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri yang memiliki hutang paling sedikit dengan kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, ‘tiada apa yang luar biasa’ dilakukan kerajaan negeri selain menguruskan negeri dengan betul.
“Kita telah tunjukkan dalam lapan tahun ini, dan ia telah dibuktikan dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang kewangan Pulau Pinang diuruskan dengan baik.
“Tiada apa yang luar biasa. Kita lakukan apa yang seharusnya dilakukan oleh sebuah kerajaan. Jika kerajaan Persekutuan boleh buat perkara yang betul, kita pasti dapat mengurangkan banyak pembaziran dan malah tidak perlukan GST.
“Pulau Pinang mengambil pendekatan yang cermat. Kita cuba untuk tidak membazir, laksanakan tender terbuka, dan mengurangkan rasuah,” katanya lagi.
Menurut jawapan Parlimen oleh Kementerian Kewangan pada 15 Mac lalu, kerajaan pimpinan DAP itu hanya berhutang sebanyak RM69.36 juta dengan kerajaan Persekutuan, berbanding Pahang yang memiliki hutang terbesar sebanyak RM2.9 bilion.
Mengulas lanjut, Zairil turut menekankan dasar kerajaan negeri yang berasaskan keperluan, bukan mengikut kaum, dalam membasmi kemiskinan.
Beliau memberikan contoh ‘Agenda Ekonomi Saksama’, iaitu satu skim membasmi kemiskinan tegar yang memberikan tambahan kepada pendapatan bulanan keluarga miskin tegar.
“(Dasar ini) tiada kaitan dengan kaum, tetapi majoriti yang menerimanya adalah keluarga Melayu. Ini membuktikan jika kita melaksanakan dasar berasaskan keperluan, ia pasti sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.
