Lebih 38,000 daripada 81,206 permohonan RMR1M lulus

Lebih 38,000 daripada 81,206 permohonan RMR1M lulus

Program RMR1M diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti petani dan keluarga kurang berkemampuan yang masih belum memiliki rumah kekal atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah.

22

PETALING JAYA:
Sebanyak 81,206 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) diterima oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sejak diperkenalkan pada tahun 2002.

Pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengesahkan daripada permohonan itu 38,147 permohonan telah diluluskan dan sebanyak 34,902 rumah telah disiapkan, 2,193 lagi masih dalam proses pembinaan manakala 1,052 permohonan dalam peringkat dokumen perjanjian.

“Sementara itu, sebanyak 24,360 permohonan telah ditolak dan 18,699 permohonan masih diproses,” katanya pada majlis penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M, di Mersing, semalam, lapor Bernama.

Menurut Ahli Parlimen Mersing itu lagi, sebanyak 10,818 permohonan diterima dengan 5,319 daripadanya telah diluluskan bagi negeri Johor.

“Sehingga kini, sebanyak 4,702 rumah telah siap dibina, 535 unit lagi sedang dalam peringkat pembinaan dan 82 sedang dalam peringkat dokumen perjanjian.

“Sebanyak 2,843 permohonan ditolak disebabkan tidak mematuhi syarat kelayakan dan 2,656 pemohon masih dalam senarai menunggu,” katanya lagi.

Terdahulu, Abd Latiff menyampaikan Sijil Kelayakan (subsidi) berjumlah RM20,000 kepada 29 pemohon yang layak dan Inden Kerja RMR1M kepada 10 kontraktor terpilih.

Program RMR1M diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti petani dan keluarga kurang berkemampuan yang masih belum memiliki rumah kekal atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.