Polis akan ambil tindakan terhadap Jamal – KPN

Polis akan ambil tindakan terhadap Jamal – KPN

Polis juga arah PBT supaya menurunkan Billboard atau papan iklan gergasi Anwar #Tahanan Politik kerana bertujuan menghasut dan mengelirukan rakyat

Khalid Abu Bakar

PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berhubung ancaman membakar papan tanda ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar’ di beberapa kawasan di Selangor.

Selain itu, Khalid juga meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menurunkan billboard atau papan iklan gergasi #BebasAnwar, #Bebas Rakyat dan #Tahanan Politik yang dipasang di beberapa kawasan di negeri itu.

Menurut Khalid, papan iklan untuk Anwar itu dilihat menghasut dan mengelirukan rakyat.

“@PDRM sedang ambil tindakan terhadap Datuk Jamal Yunus kerana ancam bakar poster. Pada masa sama PBT telah diminta turunkan Billboard yang menghasut.

“@PDRM kesan Billboard dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI sebagai ‘Tahanan Politik’,” katanya di Twitternya.

Sebelum ini, Jamal telah mendesak kerajaan Selangor supaya menurunkan papan tanda kempen pembebasan Anwar dari penjara.

Kata Pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor itu, kerajaan PKR Selangor cuba membuat andaian bahawa Anwar merupakan tahanan politik dan bukannya pesalah jenayah sepertimana yang diputuskan mahkamah.

UMNO Selangor juga meminta pihak berkuasa menyiasat PBT di Selangor kerana membenarkan papan tanda #BebasAnwar dipamerkan di beberapa kawasan di negeri itu.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Pensabitan itu mengundang kontroversi, dan Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.