Pengerusinya, Zaparudin Abdul Rahim berkata pihaknya mendapati isu ini hampir sama dengan kontroversi membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.
“Berdasarkan semakan rambang, dan disebut ramai orang, nilai semasa banglo berkenaan sekitar RM6.5 juta. Kemudian ia di beli Lim Guan Eng dengan hanya RM2.8 juta. Berapa juta beza tu?” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.
Pada 23 Dis 2011, Khir disabit kesalahan kerana menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk memperoleh dua bidang tanah dan sebuah rumah di bawah harga pasaran pada 2007.
Dalam kontroversi kali ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya semalam mendakwa rumah yang dibeli Guan Eng pada RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, George Town adalah di bawah harga pasaran.
Beliau khuatir pembelian itu berkait dengan penjualan tanah seluas 1.1 ekar di Taman Manggis yang dimaksudkan untuk pembinaan rumah kos rendah.
“Alasan yang diberi, banglo tersebut adalah rumah biasa dan tiada ‘swimming pool’. Kelakar kan? Adakah kos bina kolam renang cecah hingga jutaan ringgit?” soal Zaparudin.
Menurut kronologi yang dibentangkan Shabudin di Parlimen, banglo itu disewa Guan Eng sebagai kediamannya sejak menang pilihan raya umum ke-12, setelah enggan mendiami rumah yang disediakan kerajaan negeri atas alasan anai-anai.
Kemudiannya, Guan Eng membeli rumah itu daripada pemilik, Phang Li Koon pada 21 Okt 2015 dengan harga RM2.8 juta – 12 peratus lebih tinggi daripada harga belian oleh Li Koon pada 2008.
