Selangor cari tanah untuk Orang Asal Bukit Tunggul

Selangor cari tanah untuk Orang Asal Bukit Tunggul

Kerajaan negeri akan melihat tapak-tapak baharu bagi menempatkan penempatan baharu Orang Asal Bukit Tunggul.

azmin orang asli

SHAH ALAM :
Kerajaan Selangor telah mengarahkan Pegawai Daerah Sepang untuk mencari kawasan dan tapak yang sesuai untuk penempatan baharu penduduk Orang Asal Bukit Tunggul, Sepang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berbeza dengan pentadbiran lama, pihaknya tidak menghalau Orang Asal Bukit Tunggul yang masih mendiami kawasan terbabit walaupun tanah tersebut kini dimiliki oleh Bukit Unggul Golf Country Resort (BUGCR).

“Kita hormati hak mereka dan kita akan memberi ruang untuk mereka melihat tapak-tapak baharu bagi ditempatkan penempatan mereka yang saya dimaklumkan lebih kurang 37 keluarga yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada 100 Usahawan E-Dagang dan Perasmian Studio SITEC di I-City di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya samada beliau akan menggunakan kuasanya untuk mendapatkan kembali tanah kampung Orang Asal yang kini dimiliki BUGCR.

Lantaran tanah tersebut sudah mempunyai hak milik, Azmin berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil semula tanah terbabit.

“Kita bukan Robin Hood, curi dan rampas hak orang. Tanah ada hak milik tetapi kerajaan (negeri) bersedia untuk meneliti lokasi yang sesuai bagi menempatkan mereka yang terlibat dalam perkara ini,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.