Korporat ternama jaguh BN untuk Tasik Biru

Korporat ternama jaguh BN untuk Tasik Biru

Sumber dalaman memaklumkan bahawa Henry Harry Jinep akan menggantikan penyandang, Peter Nansian.

Insiders-say-Henry-Harry-Jinep-will-replace-Peter-Nansian-in-Tasik-Biru.

PETALING JAYA:
Seorang ahli korporat dan dermawan ternama akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru sebagai calon BN dalam pilihan raya Sarawak akan datang.

Sumber yang rapat dengan kepimpinan Sarawak memaklumkan FMT bahawa Henry Harry Jinep, yang dianggap sebagai “bintang masyarakat Bidayuh yang meningkat naik”, telah dipilih sebagai calon “langsung” BN untuk kerusi Tasik Biru yang terletak dalam daerah Bau.

Henry, 48, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Putra Sentosa dan amat dihormati kerana kejayaan perniagaan dan sumbangannya membantu menangani isu-isu sosial.

Yayasan Henry Jinep menawarkan biasiswa, pinjaman dan pelbagai jenis bantuan kepada para pelajar yang memerlukan.

Bantuan kepada badan-badan bukan kerajaan, gereja, persatuan dan individu mengharumkan nama Henry dan kemurahan hatinya mengundang pujian daripada Gabenor Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Datuk Seri Michael Manyin Jawong; dan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Anthony Nogeh Gumbek.

Orang dalaman BN berpendapat beliau “individu yang paling tepat” untuk pilihan raya akan datang, malah populariti dalam kalangan warga Sarawak menjadikan Henry dilihat sebagai calon “boleh menang”.

Sebelum ini, media melaporkan Henry akan diketengahkan sebagai calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) namun sumber-sumber BN mengesahkan beliau sebaliknya akan bertanding sebagai calon langsung BN, menggantikan penyandang Datuk Peter Nansian Ngusie daripada parti pecahan SPDP, Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Nansian, yang merupakan Menteri Muda Servis Komuniti, telah menabur khidmat sebagai ADUN Tasik Biru untuk empat penggal dan kepimpinan BN negeri merasakan masa sudah tiba masanya untuk mengemukakan wajah baharu.

Pada pilihan raya negeri 2011, Nansian memenangi Tasik Biru untuk SPDP dengan majoriti 2,072 undi dalam pertandingan tiga penjuru melawan PKR dan SNAP. Beliau menyertai TERAS pada 2014, bersama Presiden SPDP pada ketika itu, Tan Sri William Mawan; ADUN Bekenu, Rosey Yunus; ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran.

Pergeseran antara SPDP dan TERAS dikhuatiri akan menyebabkan persiapan BN menghadapi pilihan raya temui jalan buntu lantaran kedua parti mahu bertanding di kerusi itu. Bagaimanapun, menggantikan Nansian dengan seorang calon langsung BN dijangka akan menyelesaikan sebarang masalah antara mereka, menurut sumber BN.

Meskipun TERAS mesra BN, parti itu belum diterima sebagai anggota perikatan secara rasmi.

FMT turut diberitahu bahawa Sylvester Entri tidak akan mempertahankan kerusinya kali ini. Sumber-sumber memaklumkan ada kemungkinan kepimpinan BN mahu mengetengahkan calon SPDP, bekas pegawai kanan kerajaan, Dr Penguang Manggil.

Sylvester merupakan ADUN empat penggal.

Adalah dilaporkan sebelum ini bahawa beberapa ketua-ketua rumah panjang menyeru Sylvester digantikan. Mereka mendakwa beliau menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat rumah-rumah panjang tertentu. FMT turut difahamkan terdapat rungutan daripada warga DUN akan kurangnya pembangunan di kawasan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.