Khalid nasihat Kit Siang hentikan politik sempit

Khalid nasihat Kit Siang hentikan politik sempit

Malaysia bukan sebuah negara gagal kerana kerajaan masih mampu mengawal mata wang dan pentadbiran awam berjalan lancar.

Khalid-Ibrahim_lim-kit-sing_raja_600
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya berhenti berfikiran politik sempit.

Khalid (Bandar Tun Razak-Bebas) membuat teguran itu susulan kenyataan Kit Siang  yang menggambarkan Malaysia sebagai negara yang gagal dan “Banana Republic”.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam ucapan perasmian di Parlimen minggu lalu telah mengingatkan kepada semua agar bekerjasama antara satu sama lain demi negara dan mereka sepatutnya berhenti mempolitikkan setiap isu.

“Saya mahu menyatakan kepada beberapa Ahli Parlimen bahawa terdapat kenyataan yang dibuat tidak selaras dengan ucapan YDPA.

“Ahli Parlimen Gelang Patah (Kit Siang) berkata Malaysia menuju ke arah negara yang gagal. Perkataan ini boleh menjejaskan negara kita kerana ia menunjukkan bahawa mata wang negara kita seolah tidak mempunyai nilai.

“Kriteria mengatakan kita sebuah negara gagal bererti negara telah hilang kawalan menguruskan negara atau tidak berupaya menyediakan perkhidmatan awam. Saya tidak nampak mana-mana yang disebut itu berlaku masa ini,” katanya di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Ahmad Fauzi Zahari mencelah dan meminta Khalid untuk menyatakan pendirian sama ada pembangkang telah membohongi orang ramai dalam keadaan semasa negara.

“Saya mengikut nasihat YDPA dan enggan mempolitikkan sebarang isu. Saya berkongsi pengamatan saya dan saya biarkan orang ramai untuk menilainya,” jawab bekas Menteri Besar Selangor selama enam tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.