Menerusi sebuah rakaman yang dimuat naik di Facebook, jurugambar berkenaan yang menggunakan nama Eddie Putera berkata, dia tertekan dengan sikap pemandu yang suka mengambil jalan mudah menggunakan lorong kecemasan ketika terperangkap dalam kesesakan terutaman di lebuh raya.
Perkara lain yang turut dikesali katanya, apabila ada segelintir pemandu suka langgar lampu merah dan tidak mahu berhenti sekiranya melihat ada orang mahu melintas jalan.
“Saya dulu pernah bekerja di London. Sikap orang di sana tidak seperti di sini. Pemandu di sana berhemah meskipun ada antara wajah mereka yang kelihatan bengis.
“Mereka akan berhenti kalau nampak orang hendak melintas. Bukannya ada lampu isyarat pun tapi budaya mereka memang begitu.
“Tidak seperti di sini, orang kaya yang pakai tali leher lebih mahal dari tiga pasang kasut yang saya ada, lebih berlagak tak mahu berhenti kalau nampak ada orang nak melintas. Malah, dia akan tekan hon dan lajukan kenderaan kerana takut terlambat nak pergi mesyuarat,” katanya.
Menurut Eddie, dia pernah memuat naik video berkenaan aksi pemandu di Lebuh Raya NKVE yang menggunakan laluan kecemasan selepas terperangkap dalam kesesakan pada waktu puncak.
Katanya, sikap pemandu yang degil dan sangat memalukan itu tidak menunjukkan mentaliti masyarakat di negara ini yang kononnya sedang menuju sebuah negara maju.
“Diorang ni fikir nak cepat saja. Orang lain pun nak cepat juga, janganlah fikir diri sendiri saja,” ujarnya.
Pada ruangan statusnya Eddie menulis;
“Perihal pemandu pemandu stupid idiot di Malaysia. Pakai baju ratus ratus harga, tapi perangai macam arnab tak cukup akal. Rated 18+ Foul Language. Tidak sesuai untuk tuntunan kanak kanak dan ibu mengandung. Puiii,” tulisnya.
Video yang dimuat naik oleh Eddie itu telah menjadi viral dan turut mendapat pujian netizen.
