Lelaki curi makanan di Tesco ditawarkan kerja

Lelaki curi makanan di Tesco ditawarkan kerja

Individu yang ditangkap itu, seorang bapa kepada tiga orang anak didapati mencuri barangan makanan bernilai RM27.00 untuk anak-anaknya yang berada dalam kelaparan.

Tesco

PETALING JAYA:
Pendekatan seorang pengurus pasar raya untuk menawarkan pekerjaan kepada pencuri daripada memilih untuk menghukumnya mendapat reaksi positif orang ramai khususnya para netizen.

Individu yang ditangkap itu, seorang bapa kepada tiga orang anak didapati mencuri barangan makanan bernilai RM27.00 dari Pasar Raya Tesco di Alma di Bukit Mertajam untuk anak-anaknya yang berada dalam kelaparan.

Kecurian yang berjaya dikesan bagaimanapun tidak berakhir di balai polis sebaliknya ditawarkan bekerja di pasar raya berkenaan selepas mempertimbangkan situasi bapa tersebut.

“Saya berhenti kerja sebagai pekerja kontrak selepas isteri saya koma akibat komplikasi ketika melahirkan anak minggu lepas. Dia masih dirawat di hospital Bukit Mertajam, saya terpaksa,” ujar lelaki yang berusia 31 tahun itu.

Dia yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah bersyukur selepas diberi peluang kedua dan kerja selain tidak diserahkan kepada polis.

Pada Rabu lepas, lelaki itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas melawat isteri di hospital mengunjungi pasar raya Tesco selepas anaknya yang berusia dua tahun merungut kelaparan.

“Jadi saya ke bahagian makanan, mengambil beberapa buah dan minuman,” katanya, lapor sebuah portal berita.

Pengurus Besar Tesco Alma, Radzuan Ma’asan berkata, ketika soal siasat lelaki itu berterus terang mengakui dia mencuri tetapi memberi alasan yang menyayat hatinya.

“Saya tersentuh dengan situasi lelaki itu. Kami juga melawat rumah saudaranya, di mana dia duduk menumpang. Rumah itu kosong dan dalam keadaan susah,” katanya.

Justeru, pihaknya mengambil pendekatan yang berbeza dengan menawarkan lelaki itu untuk bekerja di pasar raya itu.

“Bagaimanapun lelaki itu belum membuat sebarang keputusan tentang tawaran kerja dan kami juga mendapat berita isterinya sudah sedar dari koma, namun anaknya tidak dapat diselamatkan,” tambah Radzuan.

Radzuan juga mahu memastikan anak lelaki itu yang berusia tujuh tahun itu didaftarkan ke sekolah sebelum memberikan bantuan wang untuk menampung perbelanjaan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.