
Ketua Pegawai Eksekutif TEMG Ho Kay Tat berkata, laman berita itu terpaksa dihentikan operasinya ekoran kerugian dan kegagalan mencari sokongan komersial yang memadai.
“TEMG dengan duka cita mengumumkan kami telah membuat keputusan untuk menghentikan operasi TMI secara serta-merta.
“TEMG telah menanggung kerugian sekitar RM10 juta sejak 20 bulan mengambil alih TMI pada Jun 2014, dan kami tidak lagi mampu untuk meneruskannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan TEMG telah dihubungi tiga pihak luar (yang sudah terlibat dalam industri media) yang berminat untuk mengambil alih operasi TMI namun gagal mencapai kata putus.
“Malah ada juga tawaran untuk ‘buy-out’ pengurusan. Malangnya kami gagal mencapai kata putus dengan mana-mana pihak luar serta ‘buy-out’ ini,” katanya lagi, dan mendakwa masalah yang dihadapi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyukarkan lagi penjualannya.
Selepas lapan tahun, TMI yang bermula sejak 25 Februari 2008 akan menamatkan operasinya pada tengah malam ini.